Sabtu, 7 Ogos 2010

Catatan Perjalanan

Hari ini aku perlu menghadiri kursus di Sungai Jawi. Pada mulanya seorang teman sekerja yang akan menggantikanku kerana aku perlu menyelesaikan beberapa perkara penting di maktab tetapi di saat akhir beliau tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan,jadi akhirnya ia kembali menjadi tugasku untuk hadir berkursus. 8egitu kehendak Allah.Kita hanya mampu merancang tetapi perancangan Allah mengatasi perancangan kita. Allah pencipta kita, Dia lebih berhak mengatur perjalanan hidup kita. Alhamdulillah, Allah memudahkan urusanku, van maktab akan menghantarku ke tempat kursus. Begitulah sifat Pemurah Allah, setiap kesulitan akan diiringi dengan kemudahan.Subhanallah.Pada jam 12 aku mohon kebenaran dari pihak pentadbir untuk pulang lebih awal agar dapat berkemas kerana van akan bertolak pukul 2 ptg. Usai berkemas dan solat zohor, aku membawa beg pakaian ke sekolah dan menunggu van di kawasan foyer maktab. Lebih kurang jam 2.30, van mula bergerak. Cuaca hari ini agak mendung. Aku dapat merasakan kelembapan udara hari ini agak tinggi sejak pagi tadi. Tiada banyak kenderaan di atas jalan raya.Melihat kehijauan hutan dan bukit-bukau di kiri kanan jalanraya menyegarkan pandangan mata. Aku melihat ada keriangan pada pepohon hijau disekelilingku. Mereka hidup subur kerana mendapat rezeki berbentuk cahaya matahari dan air dari langit,mereka mendapat rahmat dari Allah. Begitulah kehidupan kita yang bernama insan, jika kita hidup dalam rahmat dan kasih sayang Allah pasti kita akan menjadi seperti pepohon yang riang itu...ketenangan jiwa dan kebahagiaan hidup. Apakah lagi yang lebih mahal dari ketenangan jiwa yg dimiliki? Cuaca mendung sudah bertukar menjadi terang selepas beberapa minit melepasi sempadan perak-Kedah. Jam 4.30, kami sudah berada di Kulim.Kulim bukanlah satu tempat yg asing buatku kerana 18 tahun lalu aku pernah menuntut di kolej mara kulim. Walaupun hanya setahun di kolej mara kulim, sungguh banyak kenangan manis yang masih segar diingatan. Indahnya saat bersama rakan taulan. Di bumi inilah aku mula berjinak-jinak dengan "usrah". Di sinilah juga Allah menemukanku dengan sahabat2 yang baik lagi budiman. Tidak dapat aku lupakan pada azue, fiza, wa, dah, ma, shikin, yasbi, yusma, yong, kak yat, kak tie, ana, punker, shana, zana kasim, zana yasin, eda, ana daud, mazin, dan ramai lagi. Gambar-gambar kenangan masih tersimpan rapi. Ramai yang sudah bergelar doktor dan doktor pakar. Ada yg sudah menjawat jawatan timbalan dekan di IPTA setelah menamatkan pengajian PHD di luar negara. Aku doakan semua teman-temanku ini sentiasa berada dalam rahmat dan kasih sayang Allah. Kenangan paling indah di bumi kulim ialah "surau". Hebatnya seniour2 menyampaikan tazkirah. Kehebatannya menyentuh jiwa dan perasaan. Sedikit demi sedikit aku mula membuat perubahan pada diri dengan kekuatan anugerah Allah. Melakukan perubahan pada diri bukanlah suatu perkara yang mudah. Ianya melalui satu proses dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Di sinilah juga pemikiran dan pandangan hidup mula berubah. Aku banyak melakukan koreksi diri dan mula mendekati bahan-bahan bacaan agama. Buku-buku asas kefahaman Islam seperti Asas-asas Islam dan manhaj hidup muslim adalah antara buku yang aku cuba hayati. Indahnya Islam dan manisnya iman.Subhanallah. Alhamdulillah. Aku merayu pada Allah agar mengekalkan ku dalam nikmat Islam dan iman. Sesungguhnya Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi dariNya. Lebih kurang jam 5.30 kami tiba di tempat kursus. Aku mengucapkan bebanyak terima kasih pada abg mail (pemandu maktab yang budiman)dan muzammil, anaknya yang menemani. Syukur pada Allah yang memudahkan urusan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan