Jumaat, 11 Jun 2010

Catatan 10 Jun 2010

Alhamdulillah, hari ini Allah mengizinkan untukku membaca majalah solusi isu ke 20, Belajar daripada Alam. Aku hampir menghabiskan separuh dari majalah itu . Sungguh indah isi kandungannya, banyak yang dapatku pelajari...Tulisan gaya bersahaja tapi penuh makna oleh penulis yang kuminati, Fatimah Syarha ...Ruangan Tanbih oleh Noraslina Jusin sangat terkesan di hati...Begitu juga ruangan HaiAnak oleh Rashidah Mustaffa,...menjadi hidangan yang enak buat hati ini. Kelemahan diri kian terasa bila bertambahnya pengetahuan baru serta peringatan yang diperoleh hasil dari bacaan. Jauh di sudut hati, kupanjatkan doa pada Allah agar memberiku kekuatan dan menguatkan kesabaranku dalam urusan seharian terutama dalam mendidik anak-anak permata hatiku agar mereka menjadi insan yang mulia di sisiMu, ya Allah,Amin. Isu "Belajar daripada Alam" oleh Ketua Editor Majalah Solusi, Ustaz Pahrol diterangkan secara bersahaja tetapi sarat dengan peringatan dan ilmu yang bermanfaat.

Benar, kita perlu banyak belajar dari alam. Akan terasa maha kerdilnya diri ini bila kita belajar daripada alam. Cukuplah dengan melihat ke dalam diri sendiri dan bila kita mendongak ke langit yang tiada bertiang,..Maha Hebat ciptaan alam ini oleh yang Maha Segalanya.

Aku juga membaca cerpen yang telah lama dikumpul dan dilekatkan dalam buku,...Cerpen "Teman, cukuplah kami" oleh Ummu Hani Abu Hassan menarik hatiku, begitu juga cerpen "Narasi Cinta di Pulau Seribu Kubah" oleh Mawar Shafei menyentuh perasaan.

Yang baik itu budi.
Yang Indah itu bahasa.

Maha Hebat Allah yang menciptakan pelbagai rumpun bangsa dengan berbeza bahasa di muka bumi ini.

Rabu, 2 Jun 2010

Catatan Duka 1 Jun 2010

Pagi itu kami dikejutkan dengan berita pilu seorang rakan. Beliau diuji dengan musibah besar iaitu kematian suami tercinta yang berada di kejauhan. Berita ini sangat menyentuh hati dan sanubari kami. Kematian seseorang yang begitu hampir dengan kita sudah tentu meruntun perasaan dan ianya sudah tentu sukar untuk digambarkan dan diluahkan dengan kata-kata. Hanya Allah sahajalah yang mengetahui secara mendalam perasaan hati insan yang mengalami. Lebih menyayat hati bila mengenangkan anak yang baru sahaja disambut ketibaannya di muka bumi ini,...sudah kehilangan ayahanda tercinta. Teringat pada kisah Rasulullah s.a.w, ayahandanya Abdullah telah pergi meninggalkannya sewaktu baginda masih di dalam kandungan ibundanya, Aminah. Moga 2 orang putera kembar rakanku itu membesar menjadi insan yang hebat dan mulia di sisi Allah. Kepada rakanku yang diuji oleh Allah dengan ujian yang hebat ini, kukirimkan sms :
Takziah diucapkan atas ujian berat yang menimpa. Moga Allah kuatkan kesabaran dan mudahkan segala urusan. InsyaAllah, Allah pasti membantu. Setiap kesusahan yang datang, ada kesenangan yang mengiringi. Tabahkan hati, moga kesabaran itu digantikan oleh Allah dengan balasan syurga di akhirat kelak.

Diri ini tidak mampu menahan sebak. Kematian insan tersayang adalah suatu ujian hebat untuk kita.Namun setiap yang bernyawa sudah pasti akan merasai mati. Sesungguhnya kematian adalah suatu yang begitu dekat dengan kita. Baru sahaja halaqah di TV9 membincangkan 'sakaratul maut', Dr Zulkifli Al Bakri dan Ustaz Roslan menjadi ahli panelnya. Perbincangan tersebut begitu bermakna.

Moga roh suami rakanku ditempatkan bersama mereka yang beriman..Al fatihah..