Isnin, 23 Ogos 2010

Kita pun ke situ jua akhirnya.

Satu demi satu berita kepergian orang yang dikenali samada yang mempunyai hubungan rapat atau tidak seringkali membuatkan jiwa ini terasa sempit. Seakan terasa tak lama lagi giliranku pula akan tiba. Tak dapat dibayangkan bagaimana hendak berhadapan dengan sakaratul maut, bagaimana mahu menjawab soalan malaikat di alam barzakh nanti...mampukan iman yang rapuh ini menjawab semua soalan yang disoal nanti...apakah alam barzakh nanti akan menjadi taman syurga buat diriku atau ..?..tak mampu untuk dinyatakan...

Sebelum ramadhan menjelma tempohari, seorang bekas anak didik sekolah ku telah dijemput pulang kepada penciptaNya dalam usia baru mencecah 19 tahun. Semoga Allah merahmatinya. Terbaru, seorang yang agak rapat dengan keluarga kami juga turut menerima jemputan ke alam barzakh. 'Wan' telah pergi meninggalkan alam dunia ini untuk singgah sementara di alam barzakh. Ku doakan moga roh 'wan' berada dalam rahmat Allah. Wan mengalami ketumbuhan di buah pinggang dan dinasihatkan oleh doktor untuk menjalani pembedahan. Selepas 'operation', wan tidak sedarkan diri lebih 2 minggu hingga akhirnya beliau pergi buat selama-lamanya, begitu suratan takdir untuknya.

Bagaimana pula dengan nasib ku dan ahli keluargaku yang lain?...Sesungguhnya kematian adalah suatu yang sangat dekat dengan kita. Ia adalah pemutus kepada segala kenikmatan hidup di dunia ini. Kita adalah milik Allah, maka Allah mempunyai hak yang mutlak untuk memanggil kita semula bila tiba masa yang telah ditentukan untuk kita. Moga Allah mencurahkan rahmat dan kasih sayangNya yang berpanjangan buat kita.

Selasa, 10 Ogos 2010

Ramadhan Yang Dinantikan

Alhamdulillah, pagi ini Allah merezekikan sedikit kesempatan masa untukku menonton tanyalah ustaz yang dikendalikan oleh ustaz zahazan. walaupun hanya untuk 30 minit, tetapi ianya amat bermakna kerana ianya sarat dengan ilmu yang bermanfaat. Ustaz menyentuh perkara berikut:

1. Ramadhan disebut sebagai institusi, sekolah, universiti atau madrasah kerana natijah dari ramadhan adalah taqwa pada Allah.

2. Seorang guru beliau ada menyatakan, kita mesti dapat merasai bila Allah berfirman, "wahai orang-orang yang beriman", kita mesti ada rasa Allah menujukan panggilan itu untuk kita. Analoginya,...jika tiba2 dibuat pengumuman, "kepada pemilik kereta yang bernombor WGA 4015, sila alihkan kenderaan anda kerana ia telah mengganggu lalulintas", kita pasti akan rasa, eh..itu kereta saya tu...jadi begitulah kita patut merasakan bila Allah menujukan ayat "wahai orang-orang beriman".

3. Seseorang manusia itu dibina berasaskan 5 komponen,..seperti atau ibarat sebuah pokok. % komponen itu terdiri dari akar, batang, daun, bunga dan buah. Buah itulah yang dikatakan taqwa. Seseorang yang beriman tidak semestinya dia bertaqwa tetapi orang bertaqwa adalah seorang yang beriman.

begitulah antara sedikit catatan yang sempat diambil.

Sabtu, 7 Ogos 2010

Catatan Perjalanan

Hari ini aku perlu menghadiri kursus di Sungai Jawi. Pada mulanya seorang teman sekerja yang akan menggantikanku kerana aku perlu menyelesaikan beberapa perkara penting di maktab tetapi di saat akhir beliau tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan,jadi akhirnya ia kembali menjadi tugasku untuk hadir berkursus. 8egitu kehendak Allah.Kita hanya mampu merancang tetapi perancangan Allah mengatasi perancangan kita. Allah pencipta kita, Dia lebih berhak mengatur perjalanan hidup kita. Alhamdulillah, Allah memudahkan urusanku, van maktab akan menghantarku ke tempat kursus. Begitulah sifat Pemurah Allah, setiap kesulitan akan diiringi dengan kemudahan.Subhanallah.Pada jam 12 aku mohon kebenaran dari pihak pentadbir untuk pulang lebih awal agar dapat berkemas kerana van akan bertolak pukul 2 ptg. Usai berkemas dan solat zohor, aku membawa beg pakaian ke sekolah dan menunggu van di kawasan foyer maktab. Lebih kurang jam 2.30, van mula bergerak. Cuaca hari ini agak mendung. Aku dapat merasakan kelembapan udara hari ini agak tinggi sejak pagi tadi. Tiada banyak kenderaan di atas jalan raya.Melihat kehijauan hutan dan bukit-bukau di kiri kanan jalanraya menyegarkan pandangan mata. Aku melihat ada keriangan pada pepohon hijau disekelilingku. Mereka hidup subur kerana mendapat rezeki berbentuk cahaya matahari dan air dari langit,mereka mendapat rahmat dari Allah. Begitulah kehidupan kita yang bernama insan, jika kita hidup dalam rahmat dan kasih sayang Allah pasti kita akan menjadi seperti pepohon yang riang itu...ketenangan jiwa dan kebahagiaan hidup. Apakah lagi yang lebih mahal dari ketenangan jiwa yg dimiliki? Cuaca mendung sudah bertukar menjadi terang selepas beberapa minit melepasi sempadan perak-Kedah. Jam 4.30, kami sudah berada di Kulim.Kulim bukanlah satu tempat yg asing buatku kerana 18 tahun lalu aku pernah menuntut di kolej mara kulim. Walaupun hanya setahun di kolej mara kulim, sungguh banyak kenangan manis yang masih segar diingatan. Indahnya saat bersama rakan taulan. Di bumi inilah aku mula berjinak-jinak dengan "usrah". Di sinilah juga Allah menemukanku dengan sahabat2 yang baik lagi budiman. Tidak dapat aku lupakan pada azue, fiza, wa, dah, ma, shikin, yasbi, yusma, yong, kak yat, kak tie, ana, punker, shana, zana kasim, zana yasin, eda, ana daud, mazin, dan ramai lagi. Gambar-gambar kenangan masih tersimpan rapi. Ramai yang sudah bergelar doktor dan doktor pakar. Ada yg sudah menjawat jawatan timbalan dekan di IPTA setelah menamatkan pengajian PHD di luar negara. Aku doakan semua teman-temanku ini sentiasa berada dalam rahmat dan kasih sayang Allah. Kenangan paling indah di bumi kulim ialah "surau". Hebatnya seniour2 menyampaikan tazkirah. Kehebatannya menyentuh jiwa dan perasaan. Sedikit demi sedikit aku mula membuat perubahan pada diri dengan kekuatan anugerah Allah. Melakukan perubahan pada diri bukanlah suatu perkara yang mudah. Ianya melalui satu proses dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Di sinilah juga pemikiran dan pandangan hidup mula berubah. Aku banyak melakukan koreksi diri dan mula mendekati bahan-bahan bacaan agama. Buku-buku asas kefahaman Islam seperti Asas-asas Islam dan manhaj hidup muslim adalah antara buku yang aku cuba hayati. Indahnya Islam dan manisnya iman.Subhanallah. Alhamdulillah. Aku merayu pada Allah agar mengekalkan ku dalam nikmat Islam dan iman. Sesungguhnya Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi dariNya. Lebih kurang jam 5.30 kami tiba di tempat kursus. Aku mengucapkan bebanyak terima kasih pada abg mail (pemandu maktab yang budiman)dan muzammil, anaknya yang menemani. Syukur pada Allah yang memudahkan urusan.