Rabu, 2 Jun 2010

Catatan Duka 1 Jun 2010

Pagi itu kami dikejutkan dengan berita pilu seorang rakan. Beliau diuji dengan musibah besar iaitu kematian suami tercinta yang berada di kejauhan. Berita ini sangat menyentuh hati dan sanubari kami. Kematian seseorang yang begitu hampir dengan kita sudah tentu meruntun perasaan dan ianya sudah tentu sukar untuk digambarkan dan diluahkan dengan kata-kata. Hanya Allah sahajalah yang mengetahui secara mendalam perasaan hati insan yang mengalami. Lebih menyayat hati bila mengenangkan anak yang baru sahaja disambut ketibaannya di muka bumi ini,...sudah kehilangan ayahanda tercinta. Teringat pada kisah Rasulullah s.a.w, ayahandanya Abdullah telah pergi meninggalkannya sewaktu baginda masih di dalam kandungan ibundanya, Aminah. Moga 2 orang putera kembar rakanku itu membesar menjadi insan yang hebat dan mulia di sisi Allah. Kepada rakanku yang diuji oleh Allah dengan ujian yang hebat ini, kukirimkan sms :
Takziah diucapkan atas ujian berat yang menimpa. Moga Allah kuatkan kesabaran dan mudahkan segala urusan. InsyaAllah, Allah pasti membantu. Setiap kesusahan yang datang, ada kesenangan yang mengiringi. Tabahkan hati, moga kesabaran itu digantikan oleh Allah dengan balasan syurga di akhirat kelak.

Diri ini tidak mampu menahan sebak. Kematian insan tersayang adalah suatu ujian hebat untuk kita.Namun setiap yang bernyawa sudah pasti akan merasai mati. Sesungguhnya kematian adalah suatu yang begitu dekat dengan kita. Baru sahaja halaqah di TV9 membincangkan 'sakaratul maut', Dr Zulkifli Al Bakri dan Ustaz Roslan menjadi ahli panelnya. Perbincangan tersebut begitu bermakna.

Moga roh suami rakanku ditempatkan bersama mereka yang beriman..Al fatihah..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan